Rozita che wan Mungkir Janji??


PETALING JAYA: Hasrat pelakon Rozita Che Wan yang mahu bersara dalam dunia lakonan menjelang 2011 seperti yang di war-war sebelum ini hanyalah omong-omong kosong apabila dia tidak mengotakan janjinya selepas menerima tawaran menjadi heroin menerusi drama Iparku Diva.
Penggambaran drama yang diterbitkan oleh Zeel Production itu akan diadakan selama 20 hari bermula 15 Januari ini.

Menurut penerbitnya, Fadzil Teh, walaupun dia tahu mengenai hasrat untuk Rozita mengundurkan diri, pelakon jelita itu tidak pernah meminta bayaran tinggi daripada pihak produksinya walaupun terpaksa melanggar “perjanjiannya” itu.
"Setakat ini, bayaran yang kami tawarkan sama seperti dulu dan dia tidak pernah pun meminta lebih. Saya juga telah menyediakan sebuah lagi drama buat Rozita selepas tamatnya penggambaran Iparku Diva.

"Bagi saya, pihak kami memilih Rozita kerana dia sangat efisien dalam kerjanya. Kalau boleh saya nak dia menang dalam Anugerah Bintang Popular tahun ini sebelum dia berundur diri,” katanya.
Pihak mStar Online telah menghubungi Rozita untuk mendapatkan penjelasan berhubung pendiriannya itu.
Menurut Rozita, dia terpaksa mengubah pendirian kerana perlu menyelesaikan berapa drama lakonannya sebelum ini yang akan bersambung ke musim kedua seperti Kiah Perkasam dan Cikgu Kemisah Kirdi.
"Sebenarnya, saya masih dengan keputusan saya untuk tidak lagi berlakon bermula tahun ini kerana ingin memberi fokus pada perniagaan saya. Tapi saya perlu selesaikan beberapa drama saya untuk musim kedua.
"Tapi, sama ada saya berhenti berlakon atau tidak, rasa sama saja kerana kesemua drama yang saya lakonkan sebelum ini akan disiarkan sehingga bulan Jun ini dan wajah saya masih terpampang di kaca televisyen.

"Selain itu, saya juga akan berlakon jika tawaran itu datang daripada Zeel Production kerana penerbit syarikat itu rapat dengan saya. Nak atau tidak, saya kena juga terima tawaran mereka.
"Dalam pada itu, banyak tawaran yang saya belum putuskan. Tapi ada drama yang saya dah janji nak berlakon. Insya-Allah kalau tak ada halangan saya akan berlakon," katanya.
Tambah Rozita, dia juga hampir termakan pujukan penerbit-penerbit lain yang ingin mengambilnya berlakon dalam drama-drama mereka.
Bagaimanapun keputusannya untuk meneruskan lakonan tidak bermakna dia akan kekal bergelar sebagai seorang 'selebriti' seperti sebelum ini, tetapi dia hanya ingin menjadi seorang pelakon yang tidak mahu sebarang publisiti.
"Walaupun saya hanya berlakon sikit-sikit, apa yang pasti saya enggan menjadi seorang selebriti yang akan ditemu ramah oleh pihak media atau keluar di mana-mana akhbar juga majalah.
"Begitu juga dengan segala acara-acara hiburan, saya tidak akan muncul seperti sebelum ini. Saya tidak mahu lagi publisiti supaya privasi saya tidak akan diganggu. cara ini juga dapat menepis gosip yang membabitkan saya," tegasnya.
Bertanya pula mengenai gosip hubungan cintanya dengan pelakon Zain Saidin, Rozita menafikan hubungan itu dan menjelaskan ia sekadar gosip kosong yang tidak perlu di gembar gemburkan.
"Kami sekadar kawan baik kerana pernah berlakon bersama. Mana mungkin saya bercinta dengan Zain," selorohnya.