Rozita Che Wan Cedera Kerana Jatuh Tangga


PETALING JAYA: Pelakon jelita Rozita Che Wan mengalami kecederaan pada kaki kanan akibat terjatuh dari tangga rumahnya malam Rabu lalu.
Menurut Rozita, disebabkan kejadian tersebut ligamen kakinya itu koyak menyebabkan dia tidak boleh bergerak.
"Saya baru sahaja pulang daripda penggambaran terakhir drama Annissa dalam pukul 9 malam pada Rabu lepas. Masa menaiki tangga, saya tergelincir menyebabkan saya terjatuh.
"Pada awalnya saya fikir hanya jatuh biasa tapi ketika hendak tidur kaki mula sakit yang teramat sangat," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.



Tambahnya, dia segera menghubungi abang kandungnya untuk ke Pusat Perubatan Sime Darby, Subang Jaya dekat sini, bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut.
"Semasa hendak mendapatkan rawatan itu, kaki saya terlalu sakit dan saya tak boleh berjalan. Saya terpaksa didukung oleh abang saya untuk ke kereta sebelum dibawa ke hospital.
"Semasa doktor buat pemeriksaan x-ray dia hanya mendapati ligamen kaki saya hanya terkoyak. Nasib baik ia tak patah," katanya yang memberitahu kakinya masih lagi dibalut pada ketika ini.
Katanya, disebabkan kecederaan tersebut dia diberi rehat selama seminggu dan terpaksa bercuti daripada sebarang penggambaran drama.
"Doktor kata ia tidak teruk tapi saya perlu kurangkan berjalan dan tidak boleh bekerja sehinggalah saya betul-betul sembuh.
"Saya terpaksa membatalkan beberapa sesi fotografi dengan beberapa majalah dan tangguhkan beberapa penggambaran drama dalam masa seminggu ini," katanya.
Rozita bakal memulakan penggambaran untuk drama khas Hari Raya iaitu Pontianak Baru Kampung Batu, Kiah Pekasam dan Jaguh Kampung.